Klik Sampai Habis Loading ? Thanks :)



Saturday 21 March 2015

Istikharah

Bismillahirrahmanirrahim.

Ada yang kata aku berpura pura bahagia. Ada yang kata “Afina, awak ni terlampau berprinsip. Kadang tak kena tempat.”

Pada aku cuma ada satu jawapan. Istikharah.


Apa itu istikharah ?

Wadah yang Allah beri untuk kita bila kita berhadapan dengan pilihan.

Hidup. Sentiasa, setiap masa, manusia dihidangkan dengan pilihan. Even anak kecil pun terpaksa berhadapan dengan pilihan. “Adik pilih nak ais krim yang mana. Satu je boleh.” Dia pun garu kepala taktahu nak pilih. Semua nampak sedap. Tapi takde lah adik tu nak kena buat istikharah kat situ semata mata nak pilih ais krim.

Istikharah bila kau nak buat pilihan atau keputusan yang besar yang mana melibatkan masa depan hidup kau, dunia akhirat kau. Pilihan yang kau taktahu baik buruknya. Kalau dah tahu salah satu pilihan tu memang buruk takpayah lah.

Contoh situasi :  “Pina, esok lepas berbuka kau nak pergi terawih ke disco ?” “Ermmm confuse lah aku. Nanti lah malam ni aku buat istikharah dulu.” Aku lempang kau berpusing situ. Jahil tu sukat sukat sikit. Paham eh ?


Kenapa perlu beristikharah ?

Bukti kebergantungan hamba kepada Penciptanya. Bukti keimanan kau yang percaya hanya Dia Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Kita manusia yang terbatas pengetahuannya. Kau tahu apa yang akan jadi lima sepuluh tahun akan datang ? Hah takpayah main tahun lah, apa akan jadi esok pun kau tak mungkin tahu.

Contoh situasi : “Hoi Kiah. Esok aku pergi Aussie. Jealous cakap jealous.” Esoknya kau naik escalator kat airport, tetiba tersadung jatuh tergolek golek. Patah kaki. Terkehel tengkuk. Aussie ke mana, tersadai kau situ. Kau mula mengeluh. “Dan dan lah nak tergolek. Rugi duit aku bayar tiket mahal mahal. Penat aku berlagak dengan Kiah. Apa pun tak dapat. Bla bla bla. Blub blub blub.” Lepas tu bapak kau pasang tv. Astro Awani. Kau tengok berita flight terhempas dan flight tu yang kau sepatutnya naik pergi Aussie tapi tak jadi sebab takdir kau tergolek escalator. Agak agak kau nak rasa apa ? Bertaubat weh bertaubat. Bertaubat sebab kau dah mengeluh salahkan takdir. Sedangkan kau taktahu takdir tu baik untuk kau.

Kau taktahu. Aku taktahu. Kita semua taktahu. Siapa tahu ? Allah Al-Alim. Allah The-All-Knowing. Yang Maha Mengetahui tentang segala sesuatu. Jadi, sebab kita taktahu dan nak cari tahu lah kita kena tanya Yang Maha Tahu. Bukan tanya orang yang buat buat tahu.

Contoh situasi : “Munah, kau rasa Leman ke Mail jodoh aku ?” “Leman ! Aku pasti !” “Kenapa kau rasa Leman jodoh aku ?” “Errr sebab aku nak kat Mail.” Tettttttttt.


Rahsia istikharah

Perlu diingat, perlunya beristikharah bukan dalam hal jodoh sahaja. Tapi setiap hal yang memerlukan kau buat keputusan yang terbaik untuk hidup kau dunya wal akhirah. Pasal dunia tarbiyah, pasal pencarian rezeki halal, pasal penghijrahan, pasal itu pasal ini. Beristikharah untuk cari tahu sama ada sesuatu pilihan tu akan bawa kau lebih dekat atau lebih jauh dari Allah, dari syurga, dari Islam seluruhnya.

Istikharah bukan tentang mimpi. Jangan semata mata tunggu mimpi. Jawapan untuk istikharah boleh datang dalam banyak cara. Terlalu banyak. Luas. Seluas sifat ilmu Allah. Tak ada manusia yang mampu mengspesifikasikan jawapan istikharah datang dalam bentuk apa. Tak ada. Kau nak tahu, kau buat dulu.

Bercerita tentang pengalaman. Sejak aku mula mengenal istikharah, Allah gerakkan hati aku untuk aku mengkaji. Beli buku, tengok video ceramah, tanya ilmuan, surf internet, semua aku buat. Tapi masih belum cukup untuk aku hurai rahsia rahsia tentang istikharah. Takkan cukup. Banyak lompang lagi aku ni tentang ilmu Allah.

Aku mula jadikan istikharah salah satu panduan selepas al-Quran dan Hadis. Dan aku berani cakap istikharah salah satu lubuk untuk kau cari ketenangan bila kau dah buntu nak buat keputusan.

Istikharah memerlukan keyakinan yang tinggi kau pada Allah. Jangan ada sikit pun rasa ragu. Bila kau yakin, kau akan rasa tenang, bahagia dengan keputusan yang kau buat. Walaupun selepas tu kau diduga, kau tak berganjak. Sebab salah satu syarat beristikharah adalah ketetapan hati. Dugaan tu aku anggap Allah nak uji keyakinan aku pada Dia. Kenapa aku cakap macam tu ? Sebab bila aku yakin, aku tetapkan hati, aku tenang. Bila aku ragu, aku gelisah yang amat sangat. Jujur, semua tu aku pernah alami. Dan disebabkan tu, aku jadi manusia yang berprinsip. Aku bahagia untuk perkara yang di mata insan yang tak mengetahui, nampak buruk.

Dan satu hikmah istikharah bagi aku, Allah ajar aku sabar. Aku, Afina Nazihah Aminor Rashid ni, sangat tak sabar. Sangat sangat tak sabar. Tapi bila aku mula beristikharah, tak banyak sikit sikit aku belajar erti sabar. Berapa kali aku ulang, hikmah Allah itu indah.


Pelaksanaan istikharah

Istikharah ni sama ada kau dirikan solat sunat dua rakaat khas dengan niat istikharah atau kau berdoa istikharah dalam solat sunat hajat misalnya.

Niat solat sunat istikharah, “Sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala”

Dengan doanya, Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.” (Dari hadis riwayat Imam Bukhari)



"Bila kau berdiri di hadapan persimpangan dua jalan dan kau buntu keliru mahu pilih yang mana satu. Kedua dua jalan secara metaforanya penuh onak duri lautan api. Dan secara metaforanya bukan onak duri lautan api itu yang bikin hati kau gusar. Tapi apa yang ada selepasnya yang kau tak mampu teropong. Syurga atau neraka. Taman bunga atau jalan mati. Kau takut mahu buat pilihan kerana hidup kau yang lepas lepas sarat pilihan yang salah. Acane lah ?

Yakini istikharah. Yakini kebergantungan kau pada Tuhan. Sabar." - Aku.


Akhir kalam...

Aku tak salahkan insan insan yang berkata tu. Sebab mereka manusia yang ada sifat taktahu. Percaya satu perkara. Setiap insan yang Allah temukan dengan kau atas dunia ni, walau hanya berselisih bahu, kau ditemukan bersebab. Kadang dia jadi asbab perubahan kau. Kadang kau jadi asbab perubahan dia.

Dan bagi aku, bila aku beristikharah tentang seseorang, jawapan untuk istikharah aku itu bukan semestinya tunjuk dia lah jodoh aku. Sebab jodoh tetap rahsia Allah. Tapi kenapa Allah tunjuk dia ? Kalau bukan sebab jodoh, mungkin dia jadi asbab perubahan aku. Atau mungkin aku jadi asbab perubahan dia. Untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Wallahua’lam bi shawab.

CREDIT < Nama Afina kat atas tu nama blogger ni. Nama ana Afina juga. Tapi Afina lain x'D

Tajuk yang sangat bersesuaian lagi2 utk lepasan SPM macam saya ^^