Iblis dan Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan
memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke
akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat
iaitu ketika sakaratul maut.
Syaitan mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7
golongan dan rombongan.Hadith Rasulullah s.a.w.. menerangkan:Yang
bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan
Syaitan di waktu maut.”
Rombongan 1
Akan datang Syaitan dengan banyaknya dengan berbagai rupa
yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai
makanan dan minuman yang lazat-lazat.
Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya
sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan
disentuhnya barangan Syaitan itu, di waktu itu nyawanya putus dari
tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah
s.w.t. inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 2
Akan datang Syaitan kepada orang yang didalam sakaratul
maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti,
Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang
didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka
dia pun meraung dan melompat sekuat hati.
Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka
matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa
kepada Allah s.w.t., matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke
nerakalah tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Syaitan mengacau dan memperdayakan orang yang
di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang
yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang
hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan
jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan
Kuda lumba (judi).
Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam
sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu
meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba
itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa
kepada Allah s.w.t.. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah
tempatnya.
Rombongan 4
Akan datang Syaitan merupakan dirinya sebagai rupa yang
paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika
hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan
menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang
dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia
sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya
Rombongan 5
Akan datang Syaitan merupakan dirinya dengan rupa
sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa
makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu
sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan
tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah
dan si ibu yang dirupai oleh Syaitan,
berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan
bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan
menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak
lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.”
Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi,
ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan
kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan
semasa hidupnya.
Rombongan 6
Akan datanglah Syaitan merupakan dirinya sebagai
ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai
muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah
kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan
kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu
diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit
itu datang kembali.
Lalu datanglah pula Syaitan yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali
ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam
keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?”
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.”
Berkata ulamak Syaitan: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang
tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat
syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan
untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah s.w.t. hendaklah kamu
patuh kepada kami.”
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan
dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam
kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Syaitan bagi
tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang
yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu:
“Bagaimanakah Zat Allah?” Syaitan merasa gembira apabila jeratnya mengena .
Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. “
Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu,
maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda
yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.
Berkata Syaitan: “Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah.”
Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai guruku, bukankah ini
benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam,
iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan
bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya.
Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia
dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya
dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah
benda yang besar ini.”
Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut
nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan
kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya
di dunia ini.
Rombongan 7
Rombongan Syaitan yang ketujuh ini Syaitan terdiri dari
72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad
Muhammad s.a.w. bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak
(barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi
masuk ke neraka kerana sesat.
Ketahuilah bahawa Syaitan itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam
dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia
sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang
hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk
menyelamatkan dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha
bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.
Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu
(orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha
Illallah.