Soalan; Macam mana
mandi hadas besar dengan betul, mudah dan mengikut sunnah nabi. Bolehkah
kita menyentuh kemaluan ketika mandi atau itu boleh membatalkan mandi
kita tadi? Saya was-was dalam hal ini.
Jawapan;
Kaifiyat mandi hadas yang sempurna dan
mudah diamalkan ialah dengan mengikut cara mandi Nabi s.a.w., antaranya
yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a sebagaimana berikut;
“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila
baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya.
Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan
tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh
kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk
mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan
jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah
membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda
mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian
baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh
kedua kakinya” (HR Imam Muslim).
Dari hadis di atas, dapat kita simpulkan cara mandi hadas seperti berikut;
1. Setelah membaca Bismillah, mulakan
dengan membasuh dua tangan. Di dalam hadis yang lain, ada dinyatakan
baginda membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali.
2. Kemudian basuh kemaluan dan najis di badan jika ada dengan menggunakan tangan kiri.
3. Setelah itu ambil wudhuk sebagaimana yang biasa dilakukan.
4. Kemudian mulakan mandian dari
bahagian kepala terlebih dahulu hingga rata air di seluruh kepala
termasuk di celah-celah rambut.
5. Selesai bahagian kepala, lakukan
mandian di bahagian badan pula; dari leher ke bawah. Sunat menjirus
bahagian kanan terlebih dahulu, kemudian baru diikuti sebelah kiri.
6. Semasa mandi, tangan hendaklah
menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang
dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.
7. Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya.
8. Ketika mandi itu, jangan lupa berniat
di dalam hati melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat mandi untuk
menghilangkan hadas besar dari badan.
Menyentuh kemaluan tidaklah membatalkan
mandi. Ia hanya akan membatalkan wudhuk. Semasa mandi, jika menyentuh
kemaluan itu dilakukan dengan niat/tujuan meratakan air ke bahagian
kemaluan, tidaklah perlu mengulangi wudhuk kembali selepas mandi kerana
sentuhan itu terpaksa dilakukan untuk menyempurnakan mandi wajib. Namun
jika sentuhan itu berlaku setelah bahagian kemaluan itu telah diratakan
air (semasa mandi itu) atau setelah selesai mandi, maka ketika itu
barulah wajib mengambil wudhuk kembali selepas mandi. Adapun mandi, ia
tidak terjejas semata-mata dengan menyentuh kemaluan.
Walahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/230.
Sumber : Ilmu & Ulamak
2 comments:
terima kasih atas perkongsian ini :)
sama2 kasih ^^
Post a Comment